Perjuangan Islam bermaksud
perihal umat Islam berusaha mempertahankan agamanya dan mengatasi pihak-pihak
yang menentangnya. Oleh sebab perkataan juang itu sendiri bermaksud melawan,
maka persoalan perjuangan Islam itu menggambarkan betapa unsur perlawanan dan
persaingan adalah satu perkara rutin dan lumrah yang pasti ada di dalam Islam
dah dihadapi oleh umat Islam tidak kira bila atau di mana mereka berada.
Mahu tidak mahu, setiap Muslim terpaksa menghadapi realiti perlawanan atau
perjuangan sama ada dalam bentuk perseorangan atau perkumpulan, hebat atau
hanya pertentangan kecil mengikut tahap keimanan seseorang. Demikianlah, sejak
generasi Islam yang pertama pada zaman Rasulullah SAW lagi, umat Islam telah
dihadapkan dengan suasana perjuangan yang penuh dengan tekanan dan ujian.
Perjuangan Dan Jihad
Di dalam bahasa Arab, perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan
perjuangan adalah jihad. Jihad adalah kata terbitan (masdar) yang berasal dari perkataan "jahada" bererti bersungguh-sungguh dan tekun mengerjakan sesuatu.
"Jahada"
pula bererti memerah tenaga. Jahada al-'aduww, bererti
memerangi musuh. Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang
berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat. Al-Jihad menurut
kebanyakan kamus bererti perang mempertahankan agama.
Dalam konteks Islam, pekerjaan yang paling bersungguh dan paling banyak
berisiko adalah peperangan atau usaha menegakkan kalimah Allah di hadapan
ancaman pemerintah yang zalim sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW
yang berbunyi; Daripada Abu Sa'id
al-Khudri katanya, Rasulullah SAW telah bersabda; "Sebaik-baik jihad
adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim."
Oleh sebab itulah kebanyakan pentakrifan jihad pada zaman silam lebih merujuk
kepada aspek peperangan. Contohnya, ulama Mazhab Syafie memberi definisi jihad
sebagai perang ke atas orang kafir untuk memenangkan Islam.
Manakala ulama Mazhab Hanafi pula mendefinisikannya sebagai menyeru kepada
agama yang sebenar dan memerangi orang yang tidak menerimanya, dengan harta dan
nyawa.
Imam Hassan al-Banna pula menyatakan bahawa, "Islam mewajibkan jihad
terhadap penganut-penganutnya bukanlah bertujuan untuk mencari permusuhan antara
sesama manusia. Bukan pula untuk membuka jalan ke jurang tamak dan haloba
kepada harta benda dunia secara merampas dengan kekerasan. Sebaliknya jihad itu
diwajibkan semata-mata bertujuan untuk menjamin keamanan dan perdamaian dengan
menunaikan perutusan agama yang diamanahkan Allah ke atas pundak tiap-tiap
Muslim. Amanah menyampaikan risalah agama yang memberi petunjuk kepada manusa
menuju ke arah pintu gerbang keadilan dan kebenaran."
Persoalan mengenai perjuangan dalam Islam juga merangkumi usaha umat Islam
mengembangkan agama ini dengan menjalankan gerakan dakwah ke merata tempat di
serata pelusuk dunia. Lalu, dalam usaha berdakwah itu, mereka menghadapi
sekatan, ancaman dan cabaran yang datang dari kebanyakan orang- orang kafir
serta sasaran dakwah yang tidak bersikap terbuka untuk mendengar dahulu seruan
Islam.
Di dalam suasana ini, timbul perlawanan dan perjuangan menentang halangan,
sekatan dan ancaman daripada musuh dakwah. Namun dalam konteks zaman mutakhir
ini, perjuangan Islam khususnya dengan pengertian jihad, merangkumi aspek yang
luas dengan tidak tertumpu kepada aspek peperangan bersenjata sahaja. Bahkan
lebih banyak cenderung kepada persoalan memperbaiki umat dan mempertahankan
hak-hak umat Islam sama ada melalui gerakan bersenjata, penentangan terhadap
pemerintah yang tidak melaksanakan Islam dengan saluran pilihan raya, penulisan
dan sebagainya.
Pokoknya, di dalam usaha tersebut pada sepanjang zaman, mereka akan menghadapi
cabaran dan tentangan daripada musuh yang merupakan sebahagian daripada ujian
Allah Taala. Cabaran dan tentangan tersebutlah yang melahirkan reaksi dalam
bentuk perjuangan.
Akidah Asas Perjuangan
Islam meletakkan akidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan merupakan
rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan
isu sebagai landasan utama kerana persoalan akidah adalah bersifat menyeluruh
dan evergreen. Perjuangan yang berasaskan isu akan tamat dengan selesainya isu
berkenaan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada
akidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid. Kalimah syahadah La ilaha
illa Allah yang menjadi tema tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi
atau perubahan besar-besaran di dalam jiwa dan kehidupan manusia kerana bererti
pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah tertinggi yang diserahkan
hanya kepada Allah.
Ia adalah cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi yang telah merampas suatu
sifat khusus Tuhan yang utama iaitu menentukan perjalanan dan peraturan hidup
manusia. Islam adalah revolusi terhadap kenyataan hidup yang bersandarkan
kepada rampasan hak Tuhan itu dan juga merupakan suatu pukulan maut ke atas
sebarang peraturan dan kekuasaan yang tidak diredhai Allah. Sebaliknya Islam
menuntut manusia tunduk dan patuh kepada Allah selaras dengan pengertian
kalimah Islam sendiri.
Syed Qutb menyifatkan Islam merupakan revolusi dalam kehidupan manusia. Dalam
hubungan ini Syed Qutb menyatakan, "Seorang yang menganut Islam itu
sebenarnya telah melucutkan daripada dirinya segala sesuatu dari zaman
lampaunya pada alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam
bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya
daripada hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah. Sikapnya terhadap segala
sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat
berhati-hati dan berwaspada."
Ibn Taimiyah pula menyatakan apabila ucapan La
ilaha illa Allah itu
merupakan ucapan yang sebenar, jadilah orang yang mengucapkannya itu ahli-Nya
dan tergolong dalam golongan-Nya (golongan yang berpartisipasi dengan manhaj
al-Quran dan Sunnah), manakala orang yang mengingkarinya adalah musuh-Nya dan
orang-orang yang dimurkai-Nya. Risalah Islam yang disebarkan melalui dakwah
yang telah dimulakan oleh Para Nabi itu sendiri bersifat menyeru kepada Allah
dan menentang taghut iaitu segala perkara atau sembahan yang bersifat merampas
hak-hak ketuhanan sama ada dari sudut ibadah, undang-undang dan pemerintahan.
Dalam perkara ini, Allah Taala berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36 yang
bermaksud:
"Dan sesungguhnya Kami
telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan
memerintahkannya menyeru mereka); Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah
Taghut. Maka, antara mereka (yang menerima seruan Rasul itu), ada yang diberi
hidayah petunjuk oIeh Allah dan ada pula yang berhak ditimpa kesesatan. Oleh
itu, mengembaralah kamu di bumi, kemudian lihatlah bagaimana buruknya kesudahan
umat yang mendustakan Rasul-rasulnya."
Peranan utama Para Rasul yang diutuskan Allah adalah membawa petunjuk kepada
hamba-Nya. Ia terdiri daripada dua perkara penting yang saling perlu-memerlukan
dan menyempurnakan antara satu sama lain iaitu:
• Menyeru supaya beribadah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah Yang Maha
Esa.
• Menyeru supaya menjauhi taghut.
Jelas bahawa seruan Islam bukan setakat mengajak kepada kebaikan dengan
menyembah Allah dan mentaati-Nya, tetapi dalam masa yang sama hendaklah
menjauhi dan menentang taghut.
Matlamat Perjuangan Islam
Matlamat utama perjuangan Islam adalah untuk meninggikan kalimah Allah iaitu
dengan terlaksananya syariat-Nya dan tunduknya segala fahaman, agama dan ajaran
yang lain. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud; Diriwayatkan
daripada Abu Musa al-Asy'ari bahawa sesungguhnya seorang lelaki Badwi datang
menemui Baginda Nabi SAW dan bertanya, "Wahai RasulAllah! Ada seseorang
yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, ada juga seseorang yang
berperang untuk membuktikan kejaguhannya. Oleh itu, siapakah di antara mereka
yang berada di jalan Allah?"
Rasulullah S.A.W menjawab,
"Barangsiapa yang berperang demi menegakkan kalimah Allah, maka beliaulah
yang berada di jalan Allah." (Riwayat Muslim)
Allah Taala menuntut agar agama-Nya ini diletakkan mengatasi segala ajaran yang
lain. Tuntutan ini jelas dinyatakan oleh Allah ketika menjelaskan tentang
matlamat pengutusan Rasulullah SAW kepada manusia. Firman Allah Taala:
"Dialah (Allah) yang
telah mengutus Rasul-Nya dengan hidayah petunjuk dan agama yang sebenar supaya
dimenangkan-Nya atas segala agama walaupun dibenci oleh orang-orang
musyrikin." (Surah al-Saff: ayat 9)
Imam Abu A'la Al-Maududi menyatakan,
"Sebagaimana halnya dengan din (agama) lainnya, din Allah ini juga
menuntut bahawa seluruh wewenang mesti diserahkan kepada-Nya semata-mata. Sedangkan
semua din yang berlawanan dengannya mesti ditundukkan. Kalau tidak, ia akan
dapat menuntut kepatuhan rakyat, kerana dalau din ini telah berlaku, maka tidak
akan ada lagi din kerakyatan, kerajaan atau din kaum komunis."
Tuntutan ini tidak bererti bahawa Islam bertindak memaksa manusia memeluk Islam
dan menghapuskan terus ajaran lain secara kekerasan kerana kekerasan dan
paksaan tidak akan menghapuskan apa yang ada dalam hati dan fikiran manusia.
Hal ini dijelaskan dalam konsep dan etika peperangan dalam Islam antaranya
ialah larangan manakut-nakutkan orang ramai, melampau, membunuh wanita,
kanak-kanak, orang tua yang sudah kabur pandangan, paderi-paderi, penjaga
gereja, membakar pokok dan membunuh haiwan tanpa maslahah. Demikian juga
difahami dari ayat ke 40 Surah al-Hajj:
"Iaitu mereka yang
diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang
benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata; Tuhan kami ialah
Allah. Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang
pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan
serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi),
dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah
banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang
menolong agama-Nya (Islam); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha
Kuasa."
Tuntutan itu sebenarnya adalah supaya Islam mendominasikan seluruh suasana dan
kekuasaan pemerintahan agar manusia dapat melihat kehebatan dan keagungan Islam
lalu mereka akan menerima Islam sama ada sebagai agama anutan atau sebagai
pemerintahan yang adil dengan secara rela.
Firman Allah di dalam Surah at-Taubah, ayat 40:
"Kalau kamu tidak
menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu
ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia
salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika
ia berkata kepada sahabatnya; Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah
bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi
Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak
melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah
dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi
(selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Tuntutan menzahirkan agama ini dijelaskan sehinggalah dalam soal peperangan.
Tujuan peperangan dalam Islam sendiri adalah untuk memastikan bahawa Islam
menjadi penentu dalam percaturan politik dan hidup manusia. Firman Allah:
"Dan perangilah mereka
sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah agama itu seluruhnya
(bebas) bagi Allah semata-mata. Kemudian jika mereka berhenti (dari
kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan yang baik)
kerana sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa-apa yang mereka kerjakan."
(Surah al-Anfal: ayat 39)
Perjuangan Tidak Bernoktah
Islam sentiasa menghadapi tentangan. Hasil daripada dua faktor di atas, lalu
timbul pula reaksi dalam kalangan manusia yang enggan tunduk kepada seruan
dakwah Islam. Reaksi itulah yang menyemarakkan lagi pertentangan antara Islam
dengan musuh-musuhnya. Contoh yang paling ketara daripada sirah Rasulullah SAW
ialah apabila Baginda berdakwah dengan orang ramai tentang Islam supaya
mengucap syahadah La ilaha illa Allah, dua orang lelaki Badwi daripada kalangan
yang hadir berkata, "Ini adalah perkara yang dibenci oleh raja-raja (pemerintah).
Kerana inilah kamu akan diperangi oleh orang-orang Arab dan orang-orang 'ajam
(bukan Arab)."
Peristiwa ini menggambarkan bahawa penentangan terhadap Islam adalah perkara
yang sentiasa berlaku sebagaimana ia telah berlaku ke atas Para Nabi yang terdahulu.
Namun faktor utama penentangan itu bukanlah kerana faktor batang tubuh individu
atau golongan yang menyeru, tetapi kerana seruan Islam itu sendiri. Sebagaimana
Rasulullah SAW sendiri ditentang bukan kerana peribadi Baginda yang sudah
terkenal sebagai al-Amin dan pernah diberi kepercayaan menjadi hakim
menyelesaikan masalah perletakan Hajar al-Aswad dalam peristiwa banjir besar di
Makkah sebelum kenabian Baginda SAW.
Rasulullah SAW bersabda
(bermaksud), "Jihad itu berterusan sejak aku dibangkitkan sehingga umatku
yang terakhir membunuh Dajjal."
Konsep Kemenangan Islam Yang Hakiki
Kemenangan adalah satu perkara yang sentiasa menjadi matlamat dalam setiap
perjuangan. Tidak kira perjuangan itu benar (haq) atau batil, pejuang itu
Muslim atau tidak, masing-masing meletakkan harapan untuk mencapai kemenangan
dengan berusaha untuk mengatasi yang lain. Islam mempunyai pandangannya yang
tersendiri tentang kemenangan, berbeza dengan konsep kemenangan dalam agama
atau ideologi serta fahaman lain. Di dalam al-Quran, Allah Taala menggunakan
beberapa istilah kemenangan iaitu al-falah,
al-fawz, al-nasr dan al-fath.
Masing-masing mempunyai pengertian yang berbeza.
Kemenangan dengan istilah "al-falah"
melambangkan kemenangan yang umum dan menyeluruh meliputi segala aspek
individu, masyarakat umum, dunia dan akhirat. Kemenangan "al-fawz" pula digunakan secara lebih khusus kepada kemenangan atau
kejayaan di akhirat. Manakala kemenangan "al-nasr" pula adalah kemenangan dalam jihad kerana membela agama
Allah ke atas musuh-musuh-Nya. "Al fath"
pula kejayaan yang diperoleh setelah melalui pelbagai jenis ujian seperti
kekalahan, kelemahan, kesedihan dan kesengsaraan.
A. Kemenangan di Dunia
Di dalam al-Quran, golongan yang memperoleh kemenangan dunia (al-nasr) ini disebut sebagai ghalibun dan dzahirun. Ghalibun memberi maksud orang-orang
yang mengalahkan, manakala dzahirun bermaksud orang yang menang.
Kemenangan di dunia disebut juga al-fath. Istilah al-fath digunakan oleh al-Quran
dalam banyak ayat yang menyentuh tentang kemenangan besar. Contohnya, Allah
Taala berfirman dalam Surah al-Fath ayat 1:
"Sesungguhnya Kami
telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang
jelas nyata."
Ulama sejarah menggunakan istilah al-fath (pembukaan) di dalam setiap kejayan
tentera Islam menawan sesuatu wilayah kerana mengambil pengajaran daripada
al-Quran. Sifat penaklukan itu bukan pemaksaan dan penjajahan, tatapi ia adalah
pendedahan manusia kepada Islam, pemerintahannya dan keadilannya. Kemenangan di
dunia dapat dilihat dari beberapa aspek sebagaimana dinyatakan di dalam Surah
al-Nur ayat 55:
"Allah menjanjikan
orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai
Muhammad!) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah yang memegang kuasa pemerintahan
di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka
khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka
dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami
ketakutan (daripada ancaman musuh)."
Tiga bentuk kemenangan al-nasr yang dijanjikan itu adalah:
1. Mendapat kuasa pemerintahan di muka bumi dengan penguasaan
pendukung-pendukung ke atas negara atau wilayah dan memegang tampuk pimpinan.
2. Menguatkan agama Islam dengan mengurniakannya kewibawaan untuk menentukan
kehidupan manusia. Dengan kata lain, Islam menjadi asas kehidupan dan
undang-undang dalam negara.
3. Mewujudkan keamanan dalam kehidupan setelah mereka berhadapan dengan
pelbagai ancaman, rintangan dan risiko dalam mengharungi perjuangan.
B. Kemenangan Di Akhirat
Kemenangan di akhirat (al-fawz) adalah kemenangan yang sebenar. Walaupun
pejuang-pejuang Islam itu kalah atau gugur di medan peperangan atau sebarang
medan perjuangan lain, namun pada hakikatnya mereka telah beroleh kemenangan.
Kemenangan inilah yang menjadi matlamat sebenar di dalam perjuangan Islam.
Allah Taala menawarkan kemenangan di dalam firman-Nya dalam Surah al-Saff ayat
10-12:
"Wahai orang-orang
yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan
kamu daripada azab seksa yang tidak terperi sakitnya?"
"Iaitu, kamu beriman
kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama
Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik
bagi kamu, jika kamu mengetahui."
"(Dengan itu) Allah
akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman
(syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di
tempat-tempat tinggal yang sama ada dalam syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang
besar."
Berdasarkan ayat di atas, kemenangan di akhirat itu meliputi empat perkara:
1. Mendapat jaminan keselamatan dari azab yang pedih di akhirat.
2. Mendapat keampunan dari Allah Taala di atas segala dosa yang telah dilakukan.
3. Dimasukkah ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai yang
mengalir.
4. Mendapat tempat tinggal yang baik khusus di yurga yang bernama 'Adn.
C. Kemenangan Adalah Janji Allah
Di dalam Islam, kemenangan adalah suatu yang pasti dan perlu diyakini oleh
setiap Muslim. Mereka perlu mengimani masa hadapan yang baik dan gemilang untuk
Islam. Hal ini kerana terdapat banyak nas al-Quran dan al-Hadis yang
memberitakan bahawa Islam akan berjaya pada suatu hari kelak. Ayat 55 Surah
al-Nur tadi dimulakan dengan lafaz - wa'ada - bermaksud "telah
menjanjikan", iaitu kemenangan di dunia (al-nasr) telah dijanjikan oleh
Allah sebagai satu kemestian kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh
apabila tiba masanya.
Janji ini bukan sahaja dikhususkan buat umat Muhammad SAW, bahkan ia telah
dinyatakan oleh Allah Taala sejak zaman Nabi Daud alaihissalam lagi. Firman
Allah Taala dalam ayat ke-105 Surah al-Anbiya':
"Sesungguhnya telah
kami wartakan dalam kitab Zabur selepas peringatan bahawa bumi ini akan
diwarisi oleh hamba-hambaku yang soleh."
Janji Allah Taala ini disebut pula dalam hadis Rasulullah SAW (maksudnya); Dari
Tamim al-Dari katanya; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Akan sampai
urusan ini (agama Islam) ke setiap tempat yang sampai padanya malam dan siang.
Dan Allah tidak akan membiarkan walau sebuah rumah di bandar dan perkampungan
mahupun di pedalaman melainkan akan dimasukkan-Nya agama ini melalui kemuliaan
orang yang mulia atau kehinaan orang yang hina. Dengan kemuliaan Allah
memuliakan Islam dan dengan kehinaan Allah menghina kekufuran."
Tamim al-Dari menyatakan bahawa aku telah mengalami perkara itu dalam
keluargaku, yang Islam mendapat kebaikan, kemuliaan dan kehebatan, manakala
yang kafir mendapat kehinaan, merasa kerdil dan membayar jizyah.
Hadis ini menerangkan bahawa agama Islam akan berkembang seluas-luasnya ke
setiap penjuru dunia. Janji Allah dan Rasul-Nya ini telah berlaku untuk
peringkat pertamanya dengan berlakunya pembukaan negara Islam dan berkembangnya
wilayah taklukan Islam sejak zaman Rasulullah SAW hingga kurun ke-14 Hijrah.
D. Kemenangan Adalah Pertolongan Allah
Persoalan pokok dan perkara penting yang membezakan konsep Islam terhadap
kemenangan dengan konsep-konsep agama, ideologi dan fahaman lain adalah unsur
pertolongan Allah, Islam amat menitik-beratkan hubung-kait manusia Islam dengan
Tuhannya dalam perjuangan bahkan dalam setiap aspek kehidupan.
Para pendukung perjuangan Islam sentiasa diingatkan tentang peri pentingnya
bergantung kepada Allah dan menyakini bahawa kemenangan hanya datang daripada
Allah apabila dikehendakiNya. Allah Taala berfirman dalam ayat 160 Surah
al-Imran :
"Jika Allah menolong
kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan
kamu; dan jika ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu
sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah
hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri."
Al-Nasr dalam ayat ini memberi pengertian pertolongan dan kemenangan di dalam
perjuangan. Allah Taala mengaitkan persoalan kemenangan dalam ayat ini dengan
pernyataan bahawa Allah Yang Maha Perkasa untuk menunjukkan bahawa Dia-lah yang
berkuasa memberi kemenangan kepada orang-orang beriman sekalipun jumlah mereka
sedikit dan kelengkapan mereka kurang berbanding dengan pihak lawan.
Manakala pernyataan bahawa Allah Maha Bijaksana menegaskan bahawa Dia-lah yang
lebih mengetahui bilakah masa yang paling sesuai untuk mengurniakan kemenangan
dan sebab apakah kemenangan itu tidak diberikan dalam semua keadaan.
Setiap pejuang Islam perlu menyakini bahawa kemenangan adalah kurniaan Allah
dan bergantung kepada izin dan kehendak Allah. Bila-bila masa Dia (Allah) boleh
mengurniakan kemenangan atau menarik nikmat itu dan memberikan kekuasaan kepada
golongan lain. Justeru, para pejuang Islam perlu mengambil berat hakikat ini
agar kemenangan Islam itu dibina atas dasar kefahaman dan penghayatan Islam
dalam mengisi kemenangan.
Hakikat ini dinyatakan dalam firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 26 :
"Katakanlah (wahai
Muhammad) Ya Allah! Engkau pemilik segala kekuasaan, Engkau memberi kekuasaan
kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau mencabutnya daripada sesiapa
yang Engkau kehendaki. Dan Engkau memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan
Engkau menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Padamu kekuasaan untuk
mengurniakan kebaikan, sesungguhnya Engkaulah yang meliputi segala
kekuatan."